PUTRAJAYA, 20 November – Akta Pemajuan Harta Tanah (RPDA) dijangka dibentangkan di Parlimen pada sesi persidangan tahun hadapan, sekali gus menjadi pengganti komprehensif kepada Akta Pemajuan Perumahan (Kawalan dan Pelesenan) 1966 [Akta 118].
Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT), Nga Kor Ming berkata akta baharu itu sedang digubal bagi mewujudkan kerangka kawal selia yang lebih moden, responsif dan mampu memberikan perlindungan lebih menyeluruh kepada para pembeli.
“Ia akan dilaksanakan selepas mendapat kelulusan daripada Jemaah Menteri, yang saya jangkakan pada bulan Jun atau akhir tahun hadapan. Status ini hampir siap sebagai draf dan draf pertama akan dikemukakan tidak lama lagi,” katanya selepas merasmikan Reformasi Perumahan MADANI di sini, hari ini.
Menurutnya, RPDA membawa dua objektif utama iaitu memperluaskan skop kawal selia sedia ada agar tidak lagi terhad kepada pembangunan kediaman semata-mata, tetapi turut merangkumi projek komersial.
Juga mengemas kini peruntukan undang-undang supaya selari dengan keperluan semasa, termasuk mengambil kira perkembangan pasaran dan jenis tanah.
Pemantapan perundangan itu melibatkan pindaan terhadap Akta 118 serta penggubalan akta baharu, iaitu RPDA.
Usaha berkenaan merupakan salah satu daripada lima reformasi utama dilancarkan KPKT, selain usaha menamatkan penggunaan manual dan memulakan era digital melalui eSPA, Sistem Pengurusan Berintegrasi Perumahan (HIMS), sistem TEDUH bagi meningkatkan ketelusan, serta Audit Akaun HDA.
Nga berkata reformasi tersebut bukan sahaja menekankan transformasi digital, tetapi turut membentuk ekosistem perumahan yang lebih berintegriti, telus dan bertanggungjawab.
Kelima-lima reformasi itu akan dilaksanakan KPKT bermula 1 Januari tahun depan.