GENTING HIGHLANDS, 20 November - Cadangan mengenakan tol Genting Highlands adalah wajar bagi memastikan kelestarian penyelenggaraan infrastruktur berkenaan.
Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Datuk Seri Tiong King Sing menjelaskan kos penyelenggaraan laluan berbukit tersebut sangat tinggi dan selama ini ditanggung sepenuhnya oleh pihak Genting.
Beliau berkata cadangan tol itu harus difahami dalam konteks pembangunan pesat di kawasan sekitarnya yang turut menyebabkan peningkatan kenderaan berat menggunakan jalan tersebut.
“Kita kena faham, ini jalan persendirian kos penyelenggaraan sangat tinggi kerana kawasan bukit dan risiko hakisan. Genting sudah membaiki kerosakan dengan cepat setiap kali berlaku insiden untuk kelestarian, memang tiada pilihan lain," kata beliau selepas menghadiri Majlis RWG Visit Malaysia 2026 Press Conference & MoU Signing with Tourism Malaysia di sini.
Bagaimanapun, beliau menegaskan caj tol perlu dibuat secara adil, bukan seperti kadar tol lebuh raya awam.
Pihak Genting telah diminta membuat kiraan kos yang telus sebelum kadar ditentukan.
“Pekerja mereka jangan dikenakan caj, motosikal juga tidak akan dicaj rakan perniagaan pun perlu jaga kebajikan pekerja masing-masing,” tambahnya.
Datuk Seri Tiong turut memuji tindakan pantas pihak Genting dalam kerja penambahbaikan jalan berbanding proses kerajaan yang mengambil lebih banyak masa akibat keperluan mematuhi prosedur.
Sementara itu, beliau memaklumkan Malaysia kini mencatatkan angka kunjungan pelancong terbaik di ASEAN.
Beliau berkata kerajaan kini sedang meneliti angka sasaran baharu selepas Malaysia berjaya mencapai 38 juta pelancong tahun lalu, melepasi sasaran awal Tahun Melawat Malaysia 2026.