fb fb fb fb fb

Malaysia terus main peranan sebagai fasilitator isu sempadan Thailand–Kemboja

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 20 November – Malaysia komited untuk terus memainkan peranan sebagai fasilitator dalam usaha meredakan ketegangan di sempadan Thailand–Kemboja, meskipun keadaan di kawasan berkenaan dilaporkan rumit dan mencabar.

Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata pihaknya sentiasa memastikan hubungan rapat antara Panglima Angkatan Tentera Malaysia dengan pihak tentera kedua-dua negara, selaras dengan usaha mengekalkan kestabilan rantau.

“Keadaan sememangnya rumit dan tidak mudah. Malaysia akan terus berusaha menjadi fasilitator dengan mengekalkan hubungan antara Panglima Angkatan Tentera kita dan pihak tentera mereka. Usaha ini bertujuan memastikan gencatan senjata dihormati dan konflik dapat dikurangkan. Ini merupakan satu usaha berterusan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas meninjau kesiapsiagaan 17 aset Op Murni dan mendengar taklimat operasi berkenaan di Kem KEMENTAH, di sini.

MOHD KHUDZAIRI ZAINUDDIN