ADDIS ABABA, 19 NOVEMBER - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menyifatkan hubungan Malaysia-Ethiopia bukan sekadar urusan diplomasi biasa, malah menjadi platform terbaik dalam bertukar pandangan berhubung isu kemanusiaan seperti kezaliman di Gaza dan perang di Sudan.
Perdana Menteri ketika pertemuan dengan Perdana Menteri Ethiopia Dr. Abiy Ahmed Ali turut menyingkap sejarah tentang kerajaan pimpinan Raja Najashi yang membuka pintu perlindungan kepada umat Islam yang berhijrah dengan semangat dan sikap yang luar biasa.
Terdahulu beliau menghadiri Majlis Santapan Negara yang dihoskan Dr. Abiy di Istana Negara, di sini.
Ketika pertemuan itu, Perdana Menteri turut menekankan mengenai sejarah panjang hubungan akrab kedua-dua negara.
Perdana Menteri juga menggunakan kesempatan itu untuk menzahirkan penghargaan kepada Dr. Abiy kerana kesudian dan kesanggupannya untuk datang dari Tanduk Afrika pada tahun lalu ke Kuala Lumpur sebagai usaha beliau melakar perjalanan persahabatan dua negara.
Beliau menyifatkan kunjungan itu sangat bermakna dan produktif dan akan terus bekerja agar hubungan kedua-dua negara terus diperkukuh atas dasar persahabatan yang erat, kemajuan bersama dan nilai kemanusiaan sejagat.