MATA AYER, 21 Oktober- Lebih 400 penduduk termasuk belia dan kanak-kanak hadir memeriahkan program Women FIT@ Community yang berkonsepkan kesihatan bagi mendekatkan masyarakat dengan ilmu pengetahuan dan kesedaran melalui aktiviti riadah.
Program anjuran bersama Penyelaras DUN Mata Ayer serta Jabatan Belia dan Sukan Negeri Perlis berlangsung di Kampung Ngulang, Mata Ayer.
Menurut Pengerusi Program Women FIT@Community, Siti Berenee Yahaya, program komuniti yang mempromosikan gaya hidup sihat dalam kalangan masyarakat ini perlu diberi sokongan padu dan ditingkatkan bagi memberi kesedaran kepada masyarakat supaya sentiasa mengamalkan budaya hidup sihat, cergas dan aktif dalam kehidupan seharian.
Beliau berkata, amalan gaya hidup sihat adalah langkah pencegahan terbaik penyakit tidak berjangkit (NCD) seperti serangan jantung, strok, tekanan darah tinggi dan pelbagai jenis penyakit yang kian meningkat di negara ini.
"Pelaksanaan aktiviti sukan peringkat komuniti dilihat sebagai gaya hidup masa kini berbanding hanya tertumpu kepada sukan pertandingan yang bersifat kompetitif, dapat disertai pelbagai peringkat umur, tidak memerlukan kos yang besar dan mampu mengeratkan hubungan dalam kalangan keluarga serta masyarakat,"katanya.
Program Women FIT@Community dimeriahkan dengan aerobik, sukan rakyat, sukaneka kanak-kanak dan dewasa serta cabutan bertuah.