KUALA LUMPUR, 28 Januari - Wisma Bintara ATM telah siap sepenuhnya sekaligus bakal memberi manfaat kepada 1,400 ahli Bintara.
Ia juga bagi mendukung Pelan Strategik MINDEF (PSM) serta Pelan Tindakan 2022 (PT 22) yang memberi penekanan terhadap aspek kebajikan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) serta kakitangan awam MINDEF.
Menurut Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Ikhmal Hisham Abdul Aziz, pembinaan wisma yang setaraf hotel itu mampu meningkatkan moral selain menjadi pemangkin kepada lonjakan profesionalisme ATM sebagai benteng utama pertahanan negara.
Wisma Bintara ATM menyediakan 200 bilik penginapan dan turut dilengkapi pelbagai kemudahan termasuk surau, dewan banquet, gelanggang sukan dan gimnasium.
Segala kemudahan ini terbuka kepada Pegawai Tidak Tauliah Kanan ATM yang belum berumah tangga atau tinggal berjauhan dari keluarga dengan kadar penginapan serendah RM30.