KUALA LUMPUR, 28 Januari - Nilai kerugian berjumlah RM6.1 bilion direkodkan Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM) akibat banjir besar yang melanda negara pada Disember lalu dan awal tahun ini.
Ketua Pengarah DOSM, Datuk Seri Dr Mohd Uzir Mahidin berkata berdasarkan Laporan Khas Impak Banjir di Malaysia 2021 yang dikeluarkan hari ini, aset awam dan infrastruktur mencatatkan kerugian tertinggi bernilai RM2 bilion.
Ini diikuti tempat kediaman dan kenderaan masing-masing membabitkan kerugian RM1.6 bilion dan RM1.0 bilion.
Manakala, kerosakan melibatkan pembuatan berjumlah RM0.9 bilion, premis perniagaan RM0.5 bilion serta pertanian RM90.6 juta.
Berdasarkan laporan itu, Selangor mendahului nilai kerugian tertinggi mengikut negeri dengan jumlah RM3.1 bilion, disusuli Pahang RM593.2 juta dan Melaka RM85.2 juta.
Klang, Petaling dan Hulu Langat merupakan tiga daerah merekodkan kerugian banjir tertinggi.
Hasil dapatan dari laporan tersebut diperolehi menerusi Kaji Selidik Penilaian Impak Bencana Banjir yang dilaksanakan bermula 30 Disember 2021 dan berakhir semalam.