fb fb fb fb fb

WEPsCAL dilancarkan, perkasa kesaksamaan gender

Wong Shu Qi

KUALA LUMPUR, 20 Mei- Malaysia mencatat sejarah sebagai negara pertama dalam kalangan empat negara terpilih melancarkan inisiatif libat urus Tindakan Korporat Prinsip Pemerkasaan Wanita (WEPsCAL).

Inisiatif itu merupakan kerjasama strategik antara UN Women, LEAD Women dan TalentCorp, dengan sokongan daripada Kerajaan Australia dalam pengukuhan kesaksamaan gender di tempat kerja.

Pengerusi Lembaga Pengarah TalentCorp, Wong Shu Qi berkata, inisiatfi berkenaan menyokong wanita, terutamanya mereka yang kembali bekerja selepas tempoh berhenti kerja.

"Ini termasuk potongan cukai sebanyak 50% bagi majikan yang mengambil wanita kembali bekerja dan menyediakan cuti menjaga tanggungan bergaji sehingga 12 bulan." katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita dalam sidang media selepas Majlis Pelancaran WEPsCAL di ibu negara hari ini.

Dalam pada itu untuk mencapai kadar penyertaan tenaga kerja wanita kepada 60 peratus seiring matlamat nasional, ia memerlukan kerjasama sektor awam dan swasta.

"Statistik semasa menunjukkan kadar penyertaan ini berada pada 56.2 peratus bagi tahun 2023," katanya lagi.

Inisiatif itu turut menangani jurang gaji antara jantina, selain menyediakan polisi menyeluruh dan mampan bagi menyokong wanita di tempat kerja.

WEPsCAL dijangka menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi inklusif di rantau ASEAN dan simbol komitmen Malaysia dalam memastikan kesaksamaan gender khususnya dalam sektor pekerjaan.

Sebanyak 11 syarikat daripada pelbagai sektor menyertai kohort pertama WEPs Changemakers Malaysia, antaranya AirAsia, FGV Holdings, Micron Memory, Kiddocare dan QSR Brands.

MOHD FIRDAUS BIN RUSLI