fb fb fb fb fb

WCE Holdings catat hasil suku pertama RM393.8 juta, meningkat 421 peratus

Foto fail/ WCE

KLANG, 18 Ogos – WCE Holdings Bhd (WCEHB atau Kumpulan) mengumumkan keputusan kewangan bagi suku pertama berakhir 30 Jun 2025 (1Q FY2026) dengan merekodkan peningkatan hasil yang ketara.

WCEHB menerusi kenyataan memaklumkan, dalam tempoh itu, sebanyak RM393.8 juta hasil direkodkan, melonjak sebanyak 421 peratus berbanding RM75.6 juta yang dicatatkan dalam tempoh yang sama tahun sebelumnya (1Q FY2025).

"Lonjakan hasil ini didorong oleh aktiviti pembinaan yang lebih giat dalam segmen konsesi dan pembinaan, khususnya kerja-kerja R&R serta Seksyen 3 dan 7 Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) dan peningkatan kutipan tol hasil pembukaan tambahan jajaran di Selangor, iaitu Seksyen 1 dan 2", menurut kenyataan WCEHB.

Menurut WCEHB, segmen tol kekal sebagai penyumbang utama hasil, dengan peningkatan 451 peratus berbanding suku tahun sebelumnya. Kutipan tol meningkat 61 peratus suku ke suku kepada RM42.0 juta dalam 1Q FY2026.

"Kutipan tol meningkat 61 peratus suku ke suku dan 710 peratus tahun ke tahun, dipacu trafik lebih tinggi selepas pembukaan Seksyen 1 dan 2.

"Purata trafik harian seksyen meningkat 36 peratus berbanding tempoh sama tahun sebelumnya. Pendapatan pembinaan dalam segmen konsesi turut melonjak 710 peratus berbanding suku sebelumnya.

"Segmen pembinaan yang dikendalikan oleh WCE Maju Sdn Bhd mencatatkan pertumbuhan hasil sebanyak 230 peratus berbanding tahun sebelumnya, hasil pelaksanaan projek yang dipercepatkan. Segmen ini mencatatkan keuntungan sebelum cukai RM0.5 juta, berbanding kerugian RM0.5 juta pada 1Q FY2025.

Sementara itu, pendapatan sebelum faedah, cukai, susut nilai dan pelunasan (EBITDA), pada suku ini meningkat 84 peratus kepada RM33.4 juta berbanding RM18.1 juta pada 1Q FY2025, sekali gus mencerminkan prestasi operasi yang kukuh.

Mengenai kerugian sebelum cukai pula, kekal pada RM34.6 juta, sama seperti suku yang sama tahun sebelumnya, disebabkan kos faedah berjumlah RM57.6 juta bagi seksyen siap bina. Bagaimanapun, berbanding suku sebelumnya (4Q FY2025), kerugian sebelum cukai menyusut daripada RM42.9 juta kepada RM34.6 juta, menandakan penambahbaikan beransur.

Kumpulan itu turut menjangkakan peningkatan kutipan tol akan terus mengukuhkan aliran tunai dan prestasi operasi. Dalam jangka panjang, penyempurnaan penuh WCE dijangka memacu hasil melebihi kos pembiayaan, sekali gus menyokong peralihan kepada keuntungan mampan.

ROSLINA BINTI DIN