fb fb fb fb fb

Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya di fasa akhir kajian

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-Undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said/Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 18 Ogos - Pengasingan peranan Peguam Negara dan Pendakwa Raya kini di fasa akhir kajian sebelum dibawa pertimbangan Jemaah Menteri dalam masa terdekat.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said berkata, ketika ini usaha tersebut berada di peringkat perbandingan dengan beberapa negara mengenai model pemisahan tersebut.

Beliau berkata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim juga, menyatakan bahawa keputusan dasar mengenai perkara tersebut akan dimuktamadkan pada hujung bulan ini ketika sesi soal jawab Perdana Menteri di Parlimen, Khamis lalu.

"Insya-Allah saya percaya juga dalam pemisahan kuasa Peguam Negara dan Pendakwa Raya, saya yakin juga setelah penerangan, setelah keputusan dasar dibuat oleh Mesyuarat Kabinet. Saya cukup yakin bahawa setelah diberikan penerangan Yang Berhormat-Yang Berhormat pihak kerajaan dan juga pembangkang akan sama-sama memberi sokongan kepada kerajaan dalam membawa pindaan kepada Perlembagaan ini", katanya.

Beliau berkata demikian semasa sesi perbahasan bagi Rancangan Malaysia ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat.

Dalam pada itu, Datuk Seri Azalina berkata reformasi institusi dan tadbir urus bukanlah suatu proses yang mudah, kerana ia melibatkan pelbagai aspek termasuk prinsip kedaulatan undang-undang, integriti, inklusiviti, kredibiliti dan akauntabiliti.

Walaupun berhadapan dengan cabaran, Kerajaan MADANI berjaya melaksanakan pelbagai inisiatif di bawah reformasi tersebut secara efektif merangkumi pengukuhan institusi negara, perlindungan hak asasi, penambahbaikan undang-undang sedia ada serta tadbir urus negara dengan baik.

Sementara itu, Akta Perkhidmatan Parlimen 2025 yang diluluskan awal tahun ini juga telah berjaya mengembalikan autonomi Parlimen sekali gus memperkukuh fungsi semak dan imbang dalam sistem demokrasi berparlimen.

ROSLINA BINTI DIN