
JOHOR BAHRU, 5 April – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan bahawa beliau tidak akan menandatangani watikah pencalonan pilihan raya sekiranya tidak yakin sesebuah cabang parti itu berada dalam keadaan kemas dan mantap.
- Pemilihan calon berdasarkan merit, keupayaan dan komitmen, bukan semata-mata jawatan dalam parti.
- Cabang yang lemah tidak wajar menuntut kerusi; perlu memperkukuh jentera dan kekuatan akar umbi terlebih dahulu.
- Pemilihan dibuat melalui rundingan dengan rakan gabungan, tetapi pendirian parti tidak boleh dikompromi.
Beliau yang juga Presiden Parti Keadilan Rakyat (PKR) berkata, aspek tersebut terutamanya di peringkat akar umbi menjadi keutamaan sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Ini soal parti perjuangan. Kita telah melalui hiruk-pikuk perjuangan, tetapi akhirnya kekuatan dalaman itu yang menentukan,” kata beliau ketika berucap pada Konvensyen Keadilan Johor di sini, hari ini.
Beliau turut menegaskan jawatan dalam parti bukan jaminan untuk seseorang pemimpin dipilih sebagai calon pilihan raya, sebaliknya pemilihan calon dibuat berdasarkan merit, keupayaan serta komitmen dalam memperkukuh parti dan memenangi sokongan rakyat.
“Kita tahu nak pilihanraya caranya hebat, teori banyak, strateginya canggih tengok kekuatan bawahnya hambar, saya mahu mengingatkan mulai sekarang gerakkan kekuatan. Ketua cabang, ketua wanita, dan pemuda tidak akan secara automatik menjadi calon. Calon mestilah individu yang bekerja dengan berdedikasi dan mampu menang,” katanya.
Perdana Menteri berkata pemilihan calon perlu dibuat dengan teliti serta melalui rundingan bersama rakan dalam gabungan termasuk Pakatan Harapan (PH), namun pendirian parti tidak boleh dikompromi walaupun berdepan dengan kelemahan prestasi di sesetengah negeri.
Beliau berkata cabang yang tidak menunjukkan prestasi yang baik tidak wajar membuat tuntutan kerusi, sebaliknya perlu memperkukuh jentera pada peringkat akar umbi.
“Kita tahu dalam pilihan raya, bicara boleh hebat, teori banyak, strategi canggih, tetapi jika kekuatan di bawah hambar, kita akan gagal,” katanya.
Beliau turut menekankan, PKR perlu terus menunjukkan contoh yang baik serta kekal sebagai parti reformasi yang berintegriti bagi mempertahankan kedudukan dan kepercayaan rakyat.