KUALA LUMPUR, 19 April – Orang ramai dinasihatkan agar berwaspada dengan mesej yang tersebar di aplikasi WhatsApp yang mengandungi pautan mencurigakan berkaitan bantuan Sumbangan Tunai Rahmah (STR).
Menteri Komunikasi Datuk Fahmi Fadzil berkata mesej mengandungi pautan yang meragukan itu disyaki digunakan oleh pengendali pelaburan dalam talian yang tidak wujud atau scammer untuk mencuri akses ke aplikasi WhatsApp milik pengguna.
"Hati-hati dengan mesej yang tersebar dalam WhatsApp seperti ini. Jangan klik, ini link scammer. Jika anda klik, anda akan hilang akses ke aplikasi WhatsApp anda", katanya menerusi hantaran di Facebook.
Beliau turut menasihatkan orang ramai merujuk laman sesawang rasmi kementerian berkaitan bagi mendapatkan maklumat sahih mengenai sebarang bentuk bantuan kerajaan.