fb fb fb fb fb

Hanya satu kelas teori untuk lesen motosikal, motokar, berkuat kuasa 1 Ogos

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook menunjukkan nombor pendaftaran negeri Perak sempena Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari JPJ Ke-79 di Ipoh/ BERNAMA

IPOH, 19 April- Modul kursus Teori Kurikulum Pendidikan Pemandu (KPP01) untuk lesen motosikal dan motokar akan diintegrasikan berkuat kuasa 1 Ogos ini.

Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, calon hanya perlu duduki satu kelas teori sahaja bagi kedua-dua kelas kenderaan terbabit dan ia menjimatkan kos serta memendekkan tempoh proses mendapatkan lesen.

Modul itu turut dipertingkat dari segi ciri-ciri pemanduan selamat dan keberkesanan pembelajaran melibatkan skop peraturan jalan raya.

“Biasanya orang ambil lesen motosikal (B2) dahulu pada umur 16 tahun, jadi mereka perlu ambil ujian teori KPP01, 02 dan 03. Apabila mereka cukup umur untuk ambil lesen motokar (D), mereka tidak perlu lagi menduduki ujian teori KPP01. Terus boleh teruskan ke bahagian KPP02 dan 03. Ini telah memudahkan”, katanya pada Majlis Sambutan Ulang Tahun Hari Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Ke-79 di Stadium Indera Mulia Ipoh.

Bersempena dengan sambutan ini, pihak JPJ telah mengeluarkan nombor pendaftaran istimewa siri A_A.

Bidaan bagi nombor khas ini dibuka selama lima hari secara dalam talian menerusi JPJeBid, bermula hari ini hingga 23 April 2025, pukul 10.00 malam.

Sementara itu, beliau turut memberi amaran kepada tonto yang menghalang operasi penguatkuasaan JPJ terutama melibatkan kenderaan berat.

Tegasnya, Kementerian Pengangkutan dan JPJ tidak akan sekali-kali kompromi dan tunduk kepada ugutan tonto yang dikatakan diupah oleh pihak pengusaha kenderaan terbabit.

“Kita memang perbanyakkan dan perhebatkan lagi aktiviti penguatkuasaan. Memang ada pihak-pihak yang tidak selesa, terutama pengusaha-pengusaha kenderaan berat ini. Mereka ramai yang tidak puas hati dan sebagainya.

"Tetapi perkara ini tidak boleh dikompromi kerana ini melibatkan aspek keselamatan. Kita juga lihat bahawa kemalangan yang melibatkan kenderaan berat ini semakin menjadi-jadi. Baru-baru ini banyak kes berlaku", katanya.

ROSLINA BINTI DIN