KUALA LUMPUR, 7 April- Sultan Selangor Sultan Sharafuddin Idris Shah menasihatkan umat Islam sentiasa berwaspada dengan pihak yang menggunakan agama untuk meraih sokongan masyarakat.
Baginda menyifatkan ramai yang mengaku sebagai agamawan atau ilmuwan dan cuba untuk mempengaruhi rakyat dengan menyampaikan pendapat dan hujah mengenai isu agama.
Namun, mereka sebenarnya mempunyai agenda peribadi yang tersembunyi.
"Beta menasihatkan kepada seluruh umat Islam supaya sentiasa berwaspada dan bijak dalam menilai siapa yang sebenarnya ulama sejati dan siapa yang hanya mempergunakan agama untuk kepentingan peribadi atau kumpulan tertentu," titah baginda dalam majlis berbuka puasa bersama-sama rakyat di Masjid Damansara Perdana.