fb fb fb fb fb

1,928 kenderaan keluar Langkawi sempena Aidilfitri

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi-LADA merangkap Ahli Lembaga Pengarah Langkawi Port Sdn Bhd, Ahmad Fuad Che Ani / Foto RTM

LANGKAWI 7 April- Sebanyak 1,928 kenderaan dibawa keluar dari pulau ini ke tanah besar oleh pemiliknya yang pulang bercuti sempena Aidilfitri menerusi Dermaga Tanjung Lembong di Langkawi, Kedah.

Ia meningkat 14 peratus berbanding tahun sebelumnya.

Menurut Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA) merangkap Ahli Lembaga Pengarah Langkawi Port Sdn Bhd, Ahmad Fuad Che Ani, lima hari waktu puncak bermula 5 April hingga 9 April 2024 sejumlah 1,928 kenderaan telah membuat tempahan untuk keluar dari pulau ini ke Kuala Perlis dan Kuala Kedah.

Katanya, kenderaan itu dibawa keluar menerusi enam syarikat pengendali kargo dan perkhidmatan feri penumpang dan kenderaan.

"Sepanjang tempoh itu sebanyak 1,928 kenderaan dibawa keluar ke tanah besar dan jumlah itu adalah tertinggi sejak lima tahun lalu, iaitu 2019 sebanyak 1,279, diikuti 2020 (385), 2021 (596), 2022 (1,626) dan 2023 (1707).

Terdahulu, beliau bersama Pengurus Besar Langkawi Port Sdn Bhd (Langkawi Port), Muhd Nasir Abdul Aziz menyantuni pengguna kenderaan pada Program Selamat Pulang Perantau di Dermaga Tanjung Lembong.

Ahmad Fuad berkata, Program Selamat Pulang Perantau yang diadakan sejak 11 tahun lalu bertujuan menambahkan keceriaan kepada warga Langkawi yang mahu keluar ke tanah besar.

Sementara itu, susulan peningkatan jumlah kenderaan dan penumpang menggunakan perkhidmatan RoRo feri setiap tahun, pihak Langkawi Port telah menambah baik kemudahan dengan membina sebuah Dewan Pelepasan yang baharu bagi keselesaan pengguna.

Kos keseluruhan bangunan bernilai RM1.6 juta dan dibiayai sepenuhnya oleh LADA.

Dewan tersebut siap sepenuhnya pada 15 Disember tahun lalu.

Fasiliti dengan keluasan 5,600 kaki persegi mampu memuatkan 250 penumpang dalam satu-satu masa turut dilengkapi dengan kemudahan asas seperti tandas, bilik penyusuan bayi dan pengecas gajet.

Dermaga Tanjung Lembong mula beroperasi pada 15 November 1997, dikendalikan oleh Langkawi Port yang juga anak syarikat LADA.

KAMARULZAMAN BIN MUHAMAD