fb fb fb fb fb

Waspada air pasang besar di Pulau Pinang

Foto BERNAMA

GEORGE TOWN, 9 Oktober - Pulau Pinang dijangka mengalami fenomena air pasang besar antara 18 hingga 21 Oktober ini.

Pengarah Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) negeri, Datuk Mohd Nazri Yasmin berkata, berdasarkan Jadual Pasang Surut Malaysia 2024, paras air laut pasang tertinggi di perairan Pulau Pinang akan mencecah antara 2.8 hingga 3.1 meter CD (Chart Datum).

Waktu puncak adalah antara tengah malam hingga awal pagi.

"Pertembungan hujan lebat dalam tempoh sejam dengan air pasang tinggi berisiko tinggi kepada kawasan pinggir pantai dan sungai-sungai utama di Pulau Pinang dan mengikut piawaian JPS negeri, sekiranya jumlah hujan melebihi 60 milimeter (mm) sejam, ia dianggap hujan sangat lebat.

"Jika berlaku hujan lebat ketika air pasang besar berserta ribut, air laut akan melimpahi pantai dan paras air sungai utama akan naik dengan cepat, ini akan membawa kepada risiko banjir," katanya.

Penduduk yang tinggal berhampiran pantai atau sungai utama dinasihatkan supaya berwaspada. -BERNAMA

Trainee2