Wartawan benteng pertahan integriti maklumat, tangkis fitnah

Foto BERNAMA

KUALA LUMPUR, 29 Mei -Wartawan disifatkan sebagai benteng penting dalam mempertahankan integriti maklumat khususnya dalam menangkis sebarang maklumat tidak sahih daripada tersebar pantas menerusi pelbagai platform digital.

RINGKASAN BERITA AI
  • Wartawan bukan sekadar pencatat peristiwa; mereka menegakkan kebenaran ketika masyarakat berdepan kekeliruan dan spekulasi.
  • Apabila fitnah tersebar pantas, wartawan berdiri di barisan hadapan mempertahankan integriti dan kesahihan maklumat.
  • Setiap berita memerlukan penelitian, pengesahan dan rasa tanggungjawab tinggi untuk mengekalkan kepercayaan awam.
  • HAWANA 2026 mengetengahkan tema Media Berintegriti, Teras Kredibiliti; kemuncak sambutan pada 20 Jun di PICCA, Butterworth.

Menteri Komunikasi, Datuk Fahmi Fadzil berkata, peranan wartawan tidak lagi terbatas kepada mencatat peristiwa semata-mata, sebaliknya menjadi antara suara utama yang menegakkan kebenaran ketika masyarakat berdepan kekeliruan dan sebarnag spekulasi.

“Ketika fitnah boleh tersebar dalam sekelip mata dan persepsi sering mengatasi realiti, wartawan berdiri di barisan hadapan sebagai benteng yang mempertahankan integriti maklumat.

“Peranan wartawan tidak terbatas kepada mencatat peristiwa semata-mata. Mereka juga menjadi antara suara penting yang menegakkan kebenaran ketika masyarakat berdepan kekeliruan dan spekulasi,” katanya dalam satu hantaran di laman Facebook bersempena sambutan HAWANA 2026, hari ini.

Datuk Fahmi berkata, setiap berita yang disampaikan memerlukan penelitian, pengesahan dan rasa tanggungjawab yang tinggi kerana kepercayaan masyarakat tidak diperoleh dengan mudah, sebaliknya lahir daripada kejujuran, ketelusan dan kesungguhan yang konsisten.

“Apabila integriti dijadikan pegangan, dan kebenaran menjadi keutamaan, wartawan akan terus berdiri sebagai benteng maklumat yang sahih, kerana pada akhirnya, kewartawanan bukan hanya tentang menyampaikan berita, tetapi tentang memelihara amanah dan mempertahankan kepercayaan,” katanya.

Tarikh 29 Mei diwartakan sebagai Hari Wartawan Nasional bersempena dengan penerbitan edisi pertama akhbar Utusan Melayu pada 29 Mei 1939 bagi meraikan sumbangan dan jasa pengamal media serta wartawan veteran dalam pembangunan negara dan bangsa.

Mengangkat tema “Media Berintegriti, Teras Kredibiliti”, kemuncak sambutan HAWANA 2026 akan diadakan di Pusat Konvensyen PICCA @ Arena Butterworth di Pulau Pinang pada 20 Jun ini dan dijangka dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Helo! Tanyakan apa sahaja kepada saya.