Wartakan Hutan Bakau KomaLaut sebagai HSK- Raja Muda Perlis

Foto MEDIA ISTANA ARAU

KUALA PERLIS, 11 Mei – Hutan Bakau KomaLaut, Kuala Perlis wajar dipertimbang untuk diwartakan sebagai Hutan Simpanan Kekal (HSK).

RINGKASAN BERITA AI
  • Pemeliharaan tersusun perlu bagi melindungi ekosistem hutan bakau daripada ancaman pembangunan.
  • Penanaman pokok bakau mesti disertai penjagaan dan pemantauan berterusan supaya manfaat jangka panjang tercapai.
  • Tapak hutan bakau diluluskan dan diselenggara oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis sejak 2018.

Usaha ini bagi memastikan kesinambungan pemeliharaan serta menjamin kelestarian kawasan itu pada masa hadapan.

Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail bertitah, langkah tersebut amat penting bagi memastikan kawasan hutan bakau itu terus dipelihara secara lebih tersusun dan dilindungi daripada sebarang ancaman pembangunan yang boleh menjejaskan ekosistemnya.

“Pada masa sama, pihak yang bertanggungjawab perlu memastikan setiap pokok bakau yang ditanam diselenggara dengan baik dan dipantau secara berterusan supaya hasil serta manfaat program itu dapat dilihat dalam jangka panjang.

“Penanaman semata-mata tanpa usaha pemeliharaan dan penjagaan yang konsisten akan menyebabkan matlamat asal program sukar dicapai,” titah baginda ketika merasmikan projek penanaman 1,000 pokok bakau bersempena Hari Hutan Antarabangsa 2026 di KomaLaut di sini.

Tapak Hutan Bakau KomaLaut telah diluluskan oleh pihak berkuasa negeri sebagai kawasan hutan bakau yang diselenggara oleh Jabatan Perhutanan Negeri Perlis, sejak 2018.