KUALA LUMPUR, 9 Mei- Waris Sultan Sulu boleh membawa tuntutan terhadap Sabah ke Mahkamah Keadilan Antarabangsa (ICJ), jika mempunyai bukti, bukannya melalui rampasan aset.
Jelas Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Undang-undang dan Reformasi Institusi), Datuk Seri Azalina Othman Said, perkara berkenaan bukan isu komersial tetapi ia melibatkan kedaulatan negara.
"Kenapa tidak pergi ke ICJ? Jika mempersoalkan isu sempadan wilayah ia bukan pada platform timbang tara komersial. Cabar kami dalam ICJ jika anda mendakwa anda layak, mempunyai bukti, pemetaan dan dokumen.
Cabar kami dengan cara itu dan kami akan melawan anda sehingga selesai," katanya ketika berucap di Kolokium Timbang Tara Antarabangsa 2023, di sini.
(Datuk Seri Azalina Othman Said berucap di Kolokium Timbang Tara
Antarabangsa 2023 di sini / Foto BERNAMA)
Tambahnya lagi, kerajaan akan terus mempertahankan kedaulatan Malaysia serta melaksanakan tindakan undang-undang.
Terkini, waris Sultan Sulu cuba merampas tiga hartanah di Paris milik negara selepas gagal dalam cubaan merampas aset di Luxembourg.