ALOR SETAR, 9 Mei- Hampir 50 peratus daripada 113 Kebun Komuniti (Kebuniti) di seluruh negara telah memasuki fasa pengkomersialan dan menjana hasil lumayan.
Menteri Perpaduan Negara, Datuk Aaron Ago Dagang berkata, pihaknya akan membuka 61 lagi Kebuniti bagi mengalakkan aktiviti kejiranan selain menjana pendapatan penduduk.
Jelas beliau, terdapat Kebuniti yang berjaya meraih pendapatan sehingga mencecah puluhan ribu ringgit setahun.
“Pada peringkat awal, program ini bermula secara kecil-kecilan bagi mengisi masa lapang penduduk setempat tetapi ia semakin berkembang. Contohnya, sebuah Kebuniti di Terengganu dikhabarkan mampu meraih pendapatan sehingga RM70,000 setahun setelah menjadi pembekal cili dan timun kepada pasar raya.
Melihat sambutan dan hasil yang baik ini, kita merancang untuk mengembangkan lagi program ini di seluruh negara," katanya pada sidang media selepas mengadakan lawatan ke Tapak Projek Kebuniti MADANI Komuniti Rukun Tetangga (KRT) Taman Mutiara dan Taman Koperasi di sini.
(Datuk Aaron Ago Dagang, Menteri Perpaduan Negara)
Tambah beliau, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga memainkan peranan dalam memastikan program Kebuniti dapat dilaksanakan dengan jayanya.
Program Kebuniti merupakan kerjasama antara Kementerian Perpaduan Negara melalui Jabatan Perpaduan Negara dan Integrasi Nasional bersama Jabatan Pertanian manakala PBT membantu dari sudut penyediaan lokasi.