KUANTAN, 9 Mei- Kerajaan Pahang terus fokus terhadap hala tuju menarik masuk pelaburan asing dari pelbagai sektor dan industri dengan mengambil kira aspek alam sekitar dan kesejahteraan penduduk setempat.
Menurut Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohd Nizar Najib, tindakan kerajaan Persekutuan mengarahkan penyingkiran sisa radioaktif Lynas dari Malaysia sebelum ini, tidak akan menjejaskan pelaburan antarabangsa baharu ke negeri Pahang.
Tambahnya, Pahang kini menjadi sasaran pelaburan negara seperti New Zealand, Uzbekistan dan China yang menyatakan minat untuk memindahkan pengoperasian syarikat mereka ke negeri berkenaan.
"Kita menggalakkan pelaburan dari pelbagai industri terutama industri berat baru-baru ini. Kerajaan negeri pergi ke New Zealand untuk memuktamadkan perjanjian dengan syarikat membuat bot amfibia, dimana syarikat tersebut berminat untuk berpindah lokasi ke negeri pahang.
Mereka melihat Pahang mempunyai struktur kos yang lebih rendah dari segi gaji minima dan berpotensi menjadi pintu gerbang kepada Asia Pasifik," kata Nizar menjawab soalan tambahan Andansura Rabu (Beserah-PN) dalam sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang di Wisma Sri Pahang, Kuantan.
Penjelasan itu menjawab persoalan berhubung adakah isu sisa radioaktif Lynas boleh menjejaskan usaha kerajaan negeri untuk menarik pelabur antarabangsa dan hala tuju kerajaan bagi mengatasinya.
Semalam, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengesahkan kerajaan telah memberi Lynas Malaysia tempoh lanjutan enam bulan untuk memenuhi syarat pelesenan beroperasi di negara ini.
Lanjutan masa itu bagaimanapun disertai dengan syarat ketat dan akan sentiasa dipantau Lembaga Perlesenan Tenaga Atom (AELB).
(Exco Pelaburan, Perindustrian, Sains, Teknologi Dan Inovasi Negeri Pahang, Datuk Mohd Nizar Najib menjawab
perkara berkenaan semasa sesi soal jawab lisan pada Mesyuarat Pertama Penggal Kedua Dewan Undangan Negeri (DUN) Pahang)
Dalam pada itu katanya, salah satu usaha mempromosi peluang pelaburan, kerajaan negeri melalui Perbadanan Setiausaha Kerajaan (PSK) telah mewujudkan laman sesawang Invest Pahang dengan memperkenalkan Location Centric Approach.
Beliau menambah, setakat ini jumlah pelaburan asing yang diterima dan diluluskan pada tahun 2021 adalah sebanyak RM 10.5 bilion manakala bagi tahun 2022 adalah sebanyak RM 11.01 bilion.
Berdasarkan pecahan tersebut, antara sektor yang terlibat bagi tahun 2021 adalah sektor perkhidmatan dan sektor permbuatan tertumpu di Bentong serta Gebeng.
Bagi tahun 2022 pula, sektor pembuatan, perkhidmatan, penternakan serta pelancongan yang menyumbang kepada pelaburan negeri Pahang, tertumpu di Pekan, Kuantan, serta Rompin.