fb fb fb fb fb

PM Anwar ke Indonesia untuk Sidang Kemuncak ASEAN

(Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan delegasi berlepas ke Labuan Bajo, Indonesia bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42/FOTO FB Anwar Ibrahim)

LABUAN BAJO, 9 Mei - Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim akan mengetuai delegasi Malaysia ke Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan mesyuarat berkaitan, di Labuan Bajo, Nusa Tenggara Timur bermula Selasa ini.

Anwar akan diiringi Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir; Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Antarabangsa (MITI), Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Aziz; Menteri Ekonomi, Rafizi Ramli serta pegawai dari Pejabat Perdana Menteri, Kementerian Luar, Kementerian Ekonomi serta MITI.

Menteri Luar Negeri Datuk Seri Zambry Abd Kadir berkata, selain Sidang Kemuncak ASEAN dan Permukiman Sidang Kemuncak, Perdana Menteri turut mengambil bahagian dalam Perbincangan Suamuka antara pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Belia ASEAN, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN dan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025.

"Perdana Menteri akan menghadiri Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand ke-15 (Sidang Kemuncak IMT-GT) serta mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam–Indonesia–Malaysia–Filipina (BIMP-EAGA) ke-15, yang dijadualkan di Sidang Kemuncak ASEAN.

"Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan mesyuarat berkaitan akan menjadi peluang bagi Malaysia untuk berkongsi dan bertukar pandangan dalam pelbagai isu, termasuk usaha pembinaan komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025, hubungan ASEAN dengan rakan kongsi luar, serta perkembangan serantau dan antarabangsa, termasuk pembangunan di Myanmar dan pelaksanaan Kemuafakatan Lima Perkara (5PC)," katanya.

Menurut kenyataan itu lagi, penyertaan Malaysia dalam Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 dan mesyuarat berkaitan menunjukkan komitmennya terhadap kerjasama serantau, memupuk keamanan, kestabilan dan kemakmuran di Asia Tenggara.

"Semasa di Labuan Bajo, Perdana Menteri juga dijangka mengadakan pertemuan dengan beberapa rakan sejawatannya di ASEAN. Tema Kepengerusian ASEAN Indonesia untuk 2023 ialah 'ASEAN Matters: Epicentrum of Growth'," katanya.

Media Baharu