fb fb fb fb fb

Dua kedai musnah terbakar di Tanah Merah

(Kedai kedai yang musnah terbakar di Tanah Merah)

TANAH MERAH, 9 Mei- Dua peniaga mengalami kerugian apabila kedai yang disewa mereka di Kampung Banggol, Jalan Lubok, di sini, musnah dalam kebakaran pagi tadi.

Kejadian pada pukul 6.16 pagi itu melibatkan sebuah kedai runcit dan sebuah kedai jahit, manakala sebuah lagi kedai berhampiran berjaya diselamatkan.

Menurut pemilik kedai runcit, Ramlee Jelani, beliau mengalami kerugian sebanyak RM60,000 apabila semua barangan yang berada di premis terbabit hangus.

Beliau berkata, ketika kejadian dia berada di kediamannya di Rantau Panjang, Pasir Mas sebelum menerima panggilan daripada pemilik kedai mengenai kejadian.

"Semasa kejadian, saya tiada di sini, saya berada di Rantau Panjang. Saya balik pukul 11.00 malam tadi. Syukur, saya pulang sebab biasanya saya tidur di kedai saja," kata Ramlee.

Sementara itu, Ketua Balai Bomba dan Penyelamat Tanah Merah, Penolong Penguasa Bomba Mohd Zulkifli Osman berkata, pihaknya menghadapi sedikit kesukaran untuk memadamkan api kerana tekanan air rendah di kawasan terbabit.

"Lebih kurang 1 kilometer pihak kami mencari pili bomba kerana pili bomba berdekatan mengalami tekanan air yang rendah," katanya.

Api berjaya dikawal pada pukul 7.10 pagi dan operasi siap sepenuhnya pada pukul 9.15 pagi.

(Mohd Zulkifli Osman)

Media Baharu