fb fb fb fb fb

KPDN sasar 30 francaisi baharu, nilai pelaburan RM7.5 juta

Foto FB Timbalan Menteri

KUALA PERLIS, 9 Mei- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) menyasarkan sekurang-kurangnya 30 potensi francaisi baharu dengan nilai pelaburan sebanyak RM7.5 juta dapat dicapai menerusi 13 syarikat francaisor tempatan.

Ia dapat direalisasikan menerusi program Jelajah Daya Niaga Francais yang dilaksanakan KPDN yang bermula di Perlis bermula hari ini sehingga Khamis, untuk siri program pembangunan perniagaan francais dalam negara.

Menurut Timbalan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup, Senator Fuziah Salleh, program ini merupakan platform bagi usahawan francais dan peniaga untuk mempromosi perniagaan masing-masing dalam usaha mengukuhkan ekonomi negara.

Program ini sebahagian inisiatif menangani kos sara hidup di mana Program Daya Niaga lebih memberikan perhatian kepada meningkatkan pendapatan rakyat.

Selain itu, ianya juga sebagai pendedahan mengenai sistem perniagaan francais yang wujud dalam negara serta pakej latihan dan pembiayaan disediakan kerajaan kepada usahawan francais.

"Francais ini merupakan satu perniagaan yang kita galakkan untuk para usahawan kerana ia sudah melalui satu proses penjenamaan termasuk dari segi pemasaran dan sebagainya. Perniagaannya itu sudah ada sistem.

Jadi, ia membantu usahawan, tak perlu mula daripada kosong," kata Fuziah kepada pemberita pada Pelancaran Aduan Suri Peringkat Negeri Perlis dan Jelajah Daya Niaga Francais Zon Utara di Brasmana Foodtruck dan Flea Market, di sini.


(Foto FB Timbalan Menteri)

Sehingga kini terdapat 638 francais berdaftar di seluruh negara, di mana 58 daripadanya merupakan francais tempatan.

Bidang francais ini diharap menjadi pemangkin kepada pertumbuhan ekonomi negara yang positif menjelang penghujung tahun ini, mewujudkan peluang pekerjaan baharu dan meningkatkan kualiti kehidupan masyarakat setempat.

Media Baharu