fb fb fb fb fb

Pasukan petugas khas bakal dibentuk, pastikan pelaksanaan 5G

PUTRAJAYA, 9 Mei- Sebuah pasukan petugas khas bakal dibentuk bagi memastikan pelaksanaan rangkaian 5G bawah Digital Nasional Bhd (DNB) berjaya mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk menjelang penghujung tahun ini.

Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) juga bersetuju supaya pasukan petugas tersebut dapat memastikan peralihan kepada model dwirangkaian berjalan lancar pada awal 2024.

Menterinya, Fahmi Fadzil memaklumkan, pasukan petugas itu akan dipengerusikan secara bersama oleh Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican dan Ketua Setiausaha KKD, Datuk Mohamad Fauzi Md Isa.

Manakala Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (SKMM) diberi tanggungjawab sebagai urus setia.

"Selain itu, pasukan petugas khas ini akan turut dianggotai oleh pihak DNB dan pihak penyedia perkhidmatan termasuk CelcomDigi, Maxis, Telekom Malaysia (TM), YTL Communications (YTL) dan U-Mobile serta pihak-pihak lain yang akan ditentukan dari semasa ke semasa.

Adalah menjadi matlamat utama pasukan petugas ini untuk memantau rangka kerja dan pelan peralihan kepada model dwirangkaian 5G di Malaysia bagi menjamin keteraturan dan ketertiban pelaksanaannya dari aspek perundangan, teknikal dan kewangan," katanya menerusi kenyataan.

(Fahmi Fadzil, Menteri Komunikasi dan Digital)

Beliau sebelum ini dilaporkan berkata, kerajaan memutuskan untuk menukar model pelaksanaan 5G ketika ini kepada dwirangkaian sebaik sahaja pelaksanaan semasa bawah DNB mencapai 80 peratus liputan di kawasan berpenduduk.

Peralihan kepada model dwirangkaian itu akan dilaksanakan berpandukan syarat yang selari dengan amalan di peringkat global yang menawarkan kepelbagaian rangkaian.

Media Baharu