fb fb fb fb fb

PM tiba di Labuan Bajo, hadiri Sidang Kemuncak ASEAN

(Anwar Ibrahim (kanan) dan Joko Widodo (kiri)/ Foto Afiq Hambal&PMO Malaysia)

LABUAN BAJO, 9 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri, Datuk Seri Wan Azizah Wan Ismail tiba di sini bagi menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 2023 di bandar Manggarai Barat, Kepulauan Flores di Wilayah Nusa Tenggara Timur.

Pesawat khas yang membawa mereka selamat mendarat di Lapangan Terbang Antarabangsa Komodo pada pukul 3.45 petang dan disambut Menteri Pengangkutan Indonesia, Budi Karya Sumadi.

Ketibaan Perdana Menteri dan isteri juga disambut delegasi Malaysia yang tiba lebih awal, diketuai Menteri Luar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir dan Ketua Setiausaha Kementerian Luar, Datuk Amran Mohd Zin.

Jadual padat menanti Anwar sepanjang tiga hari persidangan termasuk pertemuan dua hala dengan Presiden Indonesia, Joko Widodo. 

Selain itu, beliau turut dijadual mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh, Perdana Menteri Laos, Sonexay Siphandone dan Perdana Menteri Timor Leste, Taur Matan Ruak. 

Anwar juga akan mengambil bahagian dalam Perbincangan Suamuka antara Pemimpin-Pemimpin ASEAN dengan Perwakilan Perhimpunan Antara Parlimen ASEAN, Belia ASEAN, Majlis Penasihat Perniagaan ASEAN, dan Pasukan Petugas Peringkat Tinggi mengenai Komuniti ASEAN Wawasan Pasca 2025. 

Perdana Menteri juga akan mempengerusikan Sidang Kemuncak Kawasan Pertumbuhan ASEAN Timur Brunei Darussalam-Indonesia-Malaysia-Filipina (BIMP-EAGA) ke-15, selain menghadiri Sidang Kemuncak Segitiga Pertumbuhan Indonesia-Malaysia-Thailand ke-15 (Sidang Kemuncak IMT-GT) di sela-sela Sidang Kemuncak ASEAN.

Kira-kira 1,000 delegasi dari 10 negara anggota ASEAN akan berhimpun dalam persidangan itu yang bertemakan 'ASEAN Matters: Epicentrum of Growth', selain Timur Leste yang menjadi negara pemerhati.

(Ketibaan Anwar Ibrahim (kanan) dan isteri di Labuan Bajo disambut Budi Karya Sumadi (kiri)
/Foto Afiq Hambali&PMO Malaysia)

Media Baharu