fb fb fb fb fb

PM ulangi jemputan kepada Jokowi adakan lawatan rasmi ke Malaysia

LABUAN BAJO, 9 Mei- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mengulangi jemputan kepada Presiden Indonesia, Joko Widodo untuk mengadakan lawatan rasmi ke Malaysia pada bulan depan susulan lawatan beliau ke Indonesia pada Januari lalu.

Jemputan itu merupakan salah satu daripada lima agenda yang disentuh Datuk Seri Anwar dalam pertemuan empat mata kedua-dua pemimpin sejurus tiba di Labuan Bajo untuk Sidang Kemuncak ASEAN ke-42.

Menerusi pertemuan selama kira-kira setengah jam itu, Perdana Menteri turut menegaskan Malaysia bersedia menyokong penganjuran Suruhanjaya Kerjasama Dua Hala ke-17 (JCBC) dan Rundingan Tahunan ke-14 yang akan dihoskan Indonesia tahun ini.

Malaysia juga sedang melengkapkan prosedur domestik bagi membolehkan perjanjian Border Crossing Agreement (BCA) dan Border Trade Agreement (BTA) ditandatangani.

(Datuk Seri Anwar Ibrahim mengadakan pertemuan dua hala dengan Joko Widodo
ketika menghadiri Sidang Kemuncak ASEAN ke-42 / Foto BERNAMA)

Isu pembatasan sempadan maritim dan darat Malaysia-Indonesia turut disentuh dengan Malaysia bersetuju memuktamadkan kedua-dua draf triti maritim dan menandatangani memorandum persefahaman (MoU) Pulau Sebatik dan Sinapad-Sesai di Sektor Sabah-Kalimantan Utara secara pakej pada tahun depan.

Agenda kelima yang dibangkitkan ialah mengenai penekanan untuk kedua-dua negara mematuhi pelaksanaan MoU Common Guidelines.

Ia bagi menjaga kemaslahatan dan keselamatan nelayan-nelayan di kawasan yang masih dipertikaikan di Selat Melaka.

Media Baharu