fb fb fb fb fb

Waris 'rider' maut kemalangan terima manfaat PERKESO

Sesi penyerahan faedah PERKESO disampaikan ADUN Ampangan, Tengku Zamrah kepada waris iaitu ibu mangsa, Habibah, di sini, hari ini.

SEREMBAN, 11 Januari- Pertubuhan Keselamatan Sosial (PERKESO) Negeri Sembilan menyampaikan Faedah Pengurusan Mayat dan Faedah Pencen Penakat di bawah Skim Keselamatan Pekerja PERKESO kepada waris Orang Berinsuran, Abdul Mu`izz Zakaria yang maut dalam kejadian kemalangan pada 30 Disember tahun lalu.

Menurut Pengarahnya, Nur Mohammad Bakhtiar Mohamad Akhir, pencarum yang bekerja sebagai Penghantar Barangan Bermajikan itu layak menerima Faedah Pencen Penakat sebanyak 53 peratus iaitu sebanyak RM1,049.75 sebulan, manakala Faedah Pengurusan Mayat dibayar sebanyak RM2,000 secara sekali bayar.  

"Dengan hasrat kita tidak mahu ada sesiapa yang tertinggal, itu falsafah kita ketika ini dan kita cuba melindungi sebanyak mungkin rakyat Malaysia di bawah perlindungan keselamatan sosial yang mana kita boleh tawarkan pada semua rakyat Malaysia," katanya.

Beliau berkata demikian pada sesi penyerahan faedah yang disampaikan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ampangan, Tengku Zamrah Tengku Sulaiman kepada waris iaitu ibu mangsa, Habibah Mohamed Tamin, di sini, hari ini.

"Alhamdullilah syukur pada Allah kerana arwah pernah cakap senanglah umi nanti, kesenangan itu kita tak tahu dalam bentuk apa rupanya dia hantar dalam bentuk macam ni selepas arwah pergi. Jadi saya memang tak menjangkakan benda ini semua saya terimalah sebagai ketentuan Allah sebab arwah selalu cakap dia kata ummi doakan saja supaya dia boleh senangkan umi," kata Habibah.

Terdahulu media melaporkan, mangsa berusia 29 tahun itu maut di tempat kejadian dalam kemalangan melibatkan sebuah motosikal di Jalan Sungai Landak, Seremban pada 30 Disember tahun lalu.

Mangsa yang merupakan anak bongsu daripada empat adik beradik telah berkhidmat selama enam tahun di sebuah syarikat penghantar barangan.

ZEHRA BINTI ZAMBRI