fb fb fb fb fb

Syarikat kendali EVCS terbakar di Johor beroperasi tanpa lesen - Suruhanjaya Tenaga

FOTO BOMBA

PUTRAJAYA, 11 Januari- Syarikat mengendalikan stesen pengecas kenderaan elektrik (EVCS) di Johor yang terbakar pada 31 Disember lepas didapati beroperasi tanpa lesen daripada Suruhanjaya Tenaga (ST).

ST memaklumkan Akta Bekalan Elektrik 1990 (Akta 447) dan Peraturan-Peraturan Elektrik 1994 memperuntukkan bahawa aktiviti pembekalan tenaga daripada mana-mana pepasangan hendaklah dilaksanakan dengan lesen sah daripada pihaknya.

"Pihak bertanggungjawab dan syarikat berkenaan akan dipanggil untuk membantu siasatan. Siasatan sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian," menurutnya dalam kenyataan hari ini.

Dalam kejadian pada 31 Disember lalu, sebuah kereta jenis Mercedes Benz elektrik (EQB) hangus akibat terbakar ketika sedang dicas di sebuah bangunan pameran kenderaan di Tampoi.

Insiden itu turut menyebabkan lima peratus daripada 256 meter persegi premis dan 20 peratus daripada EVCS yang terletak di premis berkenaan terbakar.

Bagaimanapun, kejadian tersebut tidak melibatkan kecederaan terhadap individu atau anggota bomba.

Pada 16 Disember 2022, ST dilaporkan menyarankan pengendali titik pengecasan (CPO) yang terlibat dalam pembangunan infrastruktur pengecas kenderaan elektrik (EV) agar segera mendapatkan lesen pengagihan awam yang sah bagi pepasangan EVCS di negara ini termasuk yang telah beroperasi, selewat-selewatnya pada 31 Mac 2023.

SITI AISHAH BINTI MD ISA