TELUK INTAN, 13 Mei - Waris kepada sembilan anggota Pasukan Simpanan Persekutuan (FRU) Unit 5 Sungai Senam yang terkorban dalam kemalangan di Sungai Lampam bakal menerima bantuan kebajikan keseluruhan antara RM58,000 hingga RMRM269,700.
Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata, sumbangan itu melibatkan beberapa skim termasuk Tabung Kebajikan Polis Diraja Malaysia (PDRM), Tabung Amanah Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara (TAPPN) serta Skim Ex-Gratia Bencana Kerja PDRM.
"Bantuan ini mencerminkan komitmen PDRM dan pihak kerajaan untuk kebajikan pegawai dan anggota yang meninggal dunia atau cedera menjalankan tugas. Secara peribadinya dan bagi mewakili PDRM dan Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain saya mengucapkan takziah kepada semua ahli keluarga yang terlibat dalam kemalangan tragis ini," kata Datuk Seri Ayob Khan.
Beliau berkata demikian ketika sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Hilir Perak.
Kesemua bantuan itu disalurkan berdasarkan status anggota sebagai penjawat awam yang terkorban semasa menjalankan tugas rasmi.