PUTRAJAYA, 13 Mei - Kementerian Pengangkutan (MOT) bersedia menjalinkan kerjasama dengan Kementerian Kerja Raya (KKR) dan Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN) demi menambah baik aspek keselamatan jalan raya, khususnya melibatkan pengguna jalan raya dan hidupan liar.
Menurut Menteri Pengangkutan, Anthony Loke, antara penambahbaikan termasuk pemasangan sistem pencahayaan dan pembinaan laluan khusus untuk kegunaan hidupan liar.
"Susulan kemalangan menyayat hati dua hari lalu yang melibatkan seekor gajah dilanggar mati oleh sebuah lori, pelbagai reaksi telah diterima daripada orang ramai. Kita juga amat bersedih dengan kejadian itu".
“Antara aspek keselamatan yang mungkin kita lihat ialah mungkin pencahayaan di kawasan tersebut ataupun aspek lain yang menyediakan laluan hidupan liar," katanya ketika sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Kabinet Mengenai Keselamatan dan Kesesakan Jalan Raya yang dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi di Putrajaya.
Dalam perkembangan berkaitan, beliau turut memaklumkan, mesyuarat hari ini bersetuju untuk mewujudkan satu mekanisme pendanaan bagi membolehkan penambahbaikan keselamatan dilaksanakan secara berterusan.
“Kerana sebelum ini memang tiada peruntukan khas seperti ini yang perlu kita ambil dari semasa ke semasa.
“Dengan adanya keputusan hari ini kita akan maklumkan kepada kabinet. Kita harap kita ada satu sumber, ada hasil berterusan supaya dapat mengambil langkah-langkah mitigasi untuk mengurangkan kadar kemalangan jalan raya,” ujarnya lagi.