fb fb fb fb fb

Nahas anggota FRU: YDP Agong, Raja Permaisuri zahir ucapan takziah

Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim/BERNAMA

KUALA LUMPUR, 13 Mei- Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong, Raja Zarith Sofiah menzahirkan rasa dukacita dan mengucapkan takziah kepada keluarga mangsa tragedi kemalangan melibatkan anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) di Teluk Intan, Perak.

Kemalangan yang berlaku pada hari ini meragut beberapa nyawa anggota FRU dan mengundang kesedihan seluruh negara termasuk Seri Paduka Baginda berdua.

"Sungguh menyedihkan. Saya dan isteri saya mengucapkan takziah kepada semua keluarga yang kehilangan ahli mereka dalam tragedi ini," titah Sultan Ibrahim dalam kenyataan rasmi Istana Negara.

Baginda turut mendoakan agar roh mangsa-mangsa yang terkorban diberkati dan dirahmati Allah SWT serta keluarga mereka diberikan kekuatan, ketabahan dan dipermudahkan segala urusan menghadapi dugaan ini.

Tragedi yang menyayat hati ini turut mendapat perhatian ramai termasuk pemimpin negara dan masyarakat umum yang turut menzahirkan rasa simpati serta sokongan kepada keluarga mangsa.

MUHAMMAD AFIF FARHAN BIN AHMAD HISHAM