fb fb fb fb fb

Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2025, platform penghargaan karya media

Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong dan Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Tuan Haji Ainol Amriz Ismail

PETALING JAYA 13 Mei - Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2025 yang merupakan platform pengiktirafan pembangunan industri kewartawanan negara mendapat sokongan berterusan pelbagai pihak, berjaya memperoleh dana sebanyak RM799,500 bagi menjayakan penganjuran program itu dengan PETRONAS menyumbang sebanyak RM450,000 selaku penaja utama.

Presiden Malaysian Press Institute (MPI), Datuk Yong Soo Heong berkata, dana tersebut bukan sahaja mampu mendokong aspirasi penghargaan karya kewartawanan berkualiti tinggi, malah ia juga mencerminkan keyakinan sektor korporat terhadap peranan penting media dalam membentuk masyarakat berinformasi.

“Ini adalah situasi menang-menang. Media beri suara kepada masyarakat dan sokongan daripada sektor swasta atau kerajaan sangat penting untuk industri ini terus hidup,” katanya.

Tambahnya, selain menjayakan malam anugerah, dana berkenaan juga akan digunakan untuk latihan dan pembangunan profesional wartawan termasuk bidang kewartawanan mudah alih (mobile journalism).

“Kami mahu wartawan Malaysia bukan sahaja menulis untuk khalayak tempatan, tapi juga mampu menulis untuk pembaca antarabangsa,” jelas beliau.

MWM 2025 menjadi platform utama dalam mengiktiraf karya jurnalistik terbaik di Malaysia serta mengukuhkan kerjasama antara industri media dan sektor korporat.

Malaysian Press Institute (MPI) hari ini menghimpunkan 51 organisasi korporat dan media dalam sebuah majlis penghargaan bagi meraikan para penyumbang Malam Wartawan Malaysia (MWM) 2025.

MUHAMMAD ASYRAF BIN MOHD ZUHAIRIE