IPOH, 25 Mei - Sumbangan lebih RM500,000 telah diserahkan kepada waris anggota terkorban dan mangsa yang terselamat dalam tragedi kemalangan membabitkan anggota anggota Unit Simpanan Persekutuan (FRU) baru-baru ini.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata, sumbangan merupakan hasil kutipan pelbagai pihak termasuk Koperasi Polis Diraja Malaysia (PDRM), yayasan korporat, badan kebajikan serta rakan strategik sebagai tanda keprihatinan.
"Hasil sumbangan ini berjaya dikumpul membolehkan keluarga atau waris setiap mangsa menerima wang tunai dianggarkan berjumlah lebih kurang RM46,000. Manakala bagi mangsa-mangsa yang cedera, mereka akan menerima wang tunai dianggarkan berjumlah lebih kurang RM11,000.
"Selain itu, suka untuk saya kongsikan, balu atau waris mangsa yang meninggal dunia telah menerima sejumlah RM25,000 setiap seorang, hasil sumbangan Bantuan Tawar Hati daripada Tabung Amanah Perwira dan Pertahanan Negara yang telah dikreditkan pada 23 Mei lalu," katanya pada majlis penyerahan sumbangan itu, di Mes Pegawai Kanan, Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak.
Tan Sri Razarudin turut menzahirkan rasa dukacita dan berharap seluruh keluarga mangsa terus kuat serta tabah menghadapi kehilangan insan tersayang.
Kemalangan tragis yang berlaku pada 13 Mei lalu meragut sembilan nyawa anggota FRU Unit 5, manakala sembilan lagi cedera dan masih menjalani rawatan di hospital.