fb fb fb fb fb

Warga PDRM harus kritis, konstruktif dalam menjalankan tugas - Ayob Khan

(Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay/ BERNAMA)

KUALA TERENGGANU, 14 Julai- Setiap warga kerja Polis Diraja Malaysia (PDRM) diingatkan agar sentiasa berfikiran kritis dan konstruktif dalam menjalankan tanggungjawab, kreatif serta inovatif dalam mencari penyelesaian apabila berdepan sebarang isu.

Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay berkata tanggungjawab yang digalas warga PDRM, bukan hanya tertumpu kepada usaha mengurangkan indeks jenayah atau menjaga ketenteraman awam, tetapi juga meliputi pengukuhan pasukan dari aspek modal insan dan keperluan logistik. 

Katanya, pucuk pimpinan amat menggalakkan warganya untuk mempertingkatkan ilmu pengetahuan serta arif dengan penugasan yang dilakukan, selain mempunyai keseimbangan rohani dan jasmani ketika mendepani masyarakat yang semakin peka hari ini. 

"Dalam mendepani kesibukan menjelang Pilihan Raya Negeri (PRN), Alhamdulillah kita masih dapat meneruskan agenda inovasi pasukan sebagaimana yang telah direncanakan. Penganjuran Hari Inovasi PDRM 2023 ini mencerminkan komitmen pasukan dalam memenuhi hasrat kerajaan ke arah membudayakan inovasi dalam tugas harian," katanya.

Ayob Khan berkata demikian ketika berucap merasmikan sambutan Hari Inovasi PDRM 2023 di sini.

Sambutan yang bermula sejak 2010 itu merupakan inisiatif berterusan PDRM dalam mengiktiraf garapan idea warga pasukan seterusnya diterjemahkan melalui penghasilan produk dan perkhidmatan yang disuntik elemen inovasi agar memberi impak kepada organisasi dan masyarakat. 

Tahun ini, PDRM menerima sebanyak 39 penyertaan dari seluruh negara dengan 11 daripadanya layak ke pusingan akhir membabitkan dua kategori iaitu penciptaan dan penambahbaikan.

Bagi kategori penambahbaikan, Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik (JSPT) muncul sebagai johan menerusi projek 'My Bayar Saman PDRM' yang memudahkan urusan pembayaran saman oleh masyarakat secara dalam talian selain berupaya meningkatkan integriti warga pasukan.


(FOTO FB Polis Terengganu)

Manakala bagi kategori penciptaan pula johan disandang Projek Dr. Ghaz Sensor (DRGS), yang berfungsi mengesan pergerakan pendatang asing tanpa izin dan menghantar amaran ke Pos Kawalan Pasukan Gerakan Am (PGA) di sempadan negara oleh PGA Briged Sarawak.

Ia dilihat berjaya mengurangkan indeks jenayah pendatang asing dan isu penyeludupan rentas sempadan di negara ini.

Media Baharu