KUALA LUMPUR, 14 Julai - Orang ramai khususnya golongan berpendapatan rendah B40 tidak melepaskan peluang untuk membeli barangan keperluan harian pada harga yang lebih murah menerusi Program Jualan Rahmah Bergerak.
Pengarah Kementerian Perdagangan Dalam Negeri Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur dan Kos Sara Hidup (KPDN), Ariffin Samsudin berkata sebanyak 12 jenis barang keperluan asas habis dijual setiap hari pada
Program yang bermula pada 25 Jun itu.
"Setiap barangan ditawarkan harga diskaun sehingga 30 peratus, dengan jumlah keseluruhan diskaun mencecah RM30,000 di setiap lokasi.
"Kami juga menyasarkan di 33 lokasi terpilih untuk meneruskan program ini sehingga 1 Ogos depan," katanya pada program jualan di Pangsapuri Taman Sejahtera, Segambut di sini semalam.
(Jualan Rahmah Bergerak di Pangsapuri Taman Sejahtera, Segambut)
Ini pula pendapat orang ramai yang ditemui RTM di kawasan Jualan Rahmah Bergerak di Pangsapuri Taman Sejahtera, Segambut.
"Saya rasa gembira sebab saya dapat berbelanja dengan jimat dalam program Jualan Rahmah ini," kata Kamariah Ramli.
"Program yang dilakukan oleh kerajaan ini baik untuk rakyat, dapat memudahkan masyarakat yang tidak berkemampuan untuk membeli barang keperluan di sini," kata Mohd Sukri Abdullah.
"Saya tengok ramai orang membeli di sini, semua orang dapat bantuan sekali gus meringankan beban keluarga dan saya berharap program seperti ini diteruskan di semua tempat," menurut Komathi Subramaniam.
"Saya kalau beli beras kat kedai luar, harga sekampit beras untuk 10kg mencecah RM20. Tapi melalui program ini saya dapat beli dengan harga yang lebih murah. Sama juga dengan harga gula. Jadi semoga program ini dapat diteruskan bagi membantu golongan yang tidak mampu," kata Esah Hashim.
Program Jualan Rahmah Bergerak ini turut menawarkan ayam pada harga RM10 seekor, minyak masak 5kg pada harga RM20 sebotol, telur ayam kampung pada harga RM10 bagi sepapan, dan beras 5kg pada harga RM10 sekampit.
ARTIKEL BERKAITAN:
Jualan Rahmah: Jabatan dan agensi KKD pergiat hebahan
Jualan Rahmah Perlis tawar barang keperluan Aidiladha
Pulau Pinang negeri pertama, inisiatif Treler Jualan Rahmah Bergerak
Jualan Rahmah Aidiladha bermula 16-28 Jun