fb fb fb fb fb

MOT rancang tambah gerabak ETS, tingkat kapasiti penumpang

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke/ BERNAMA

KUALA LUMPUR, 25 Januari- Kementerian Pengangkutan (MOT) merancang untuk menambah lebih banyak gerabak bagi perkhidmatan tren elektrik (ETS).

Menteri Pengangkutan, Anthony Loke berkata langkah itu membolehkan kapasiti penumpang ditingkatkan, susulan permintaan tinggi terhadap perkhidmatan pengangkutan itu.

Menurut beliau, sebanyak 105,168 tiket ETS sudah habis dijual sempena Tahun Baharu Cina tahun ini. Manakala, sebanyak 33,831 daripada 43,210 tiket kereta api bagi laluan Pantai Timur sudah terjual.

Secara keseluruhannya, dari 248,288 tiket yang ditawarkan, 90 peratus tiket telah habis dijual.

"Trend penggunaan kereta api khususnya ETS semakin popular, bukan sahaja untuk musim perayaan tetapi waktu-waktu biasa juga. Itu sebabnya pihak Kementerian Pengangkutan memberikan fokus yang agak tinggi kepada perkhidmatan ETS.

"Sekiranya ada kapasiti tambahan, saya yakin ratusan ribu (permintaan). Kalau kita ada lebih banyak tren, saya yakin lebih ramai akan menggunakan tren daripada menggunakan kenderaan sendiri", katanya kepada pemberita selepas Majlis Edaran Pek Cenderahati Sempena Tahun Baharu Cina di KL Sentral.

Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Keretapi Tanah Melayu Berhad (KTMB), Datuk Mohd Rani Hisham Samsudin dan Pengarah Perbadanan Aset Keretapi, Datuk Jana Santhiran Muniayan.

Selain itu, beliau turut mengumumkan, KTMB juga telah memperkenalkan perjalanan tren khas pergi dan balik dari stesen KL Sentral ke Butterworth.

Ia menawarkan 396 tiket untuk setiap perjalanan yang mula dijual pada 21 Januari lalu.

ROSLINA BINTI DIN