fb fb fb fb fb

Anwar, Elon Musk adakan pertemuan maya, bincang perkhidmatan satelit Starlink

(Foto Anwar Ibrahim)

PUTRAJAYA, 14 Julai- Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini mengadakan perbincangan mengenai penyertaan syarikat SpaceX milik Elon Musk dalam perkhidmatan satelit Starlink di negara ini yang dapat menyumbang kepada capaian internet lebih laju dan meluas terutama di kawasan pedalaman.

Menurut Anwar, pembangunan kemudahan itu hanya memerlukan infrastruktur fizikal dan tanah yang minimum bagi meningkatkan rangkaian internet global.

"Inisiatif ini akan meningkatkan keupayaan dan kesejahteraan rakyat, terutamanya daripada aspek pendidikan dan potensi teknologi pertanian serta penjanaan pendapatan," menurut kenyataan itu.

Terdahulu, perdana menteri mengadakan pertemuan melalui persidangan video bersama-sama dengan Pengasas dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) SpaceX, Elon Musk dan Pengarah Kanan SpaceX, Lauren Dreyer.

Turut hadir menyertai sidang video itu, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Menteri Komunikasi dan Digital, Fahmi Fadzil.

Starlink adalah penyedia rangkaian internet jalur lebar berkelajuan tinggi dan pendaman rendah yang dikendalikan syarikat aeroangkasa milik Elon Musk, SpaceX.

Pada perbincangan itu, perdana menteri turut mengalu-alukan minat dan keputusan pelaburan syarikat (Tesla) di Malaysia dan juga kesediaan Elon Musk untuk datang ke Malaysia.

Beliau turut mengucapkan tahniah dan dokongan kerajaan atas pembukaan Ibu Pejabat, Pusat Servis dan Pusat Pengalaman jenama kenderaan elektrik Tesla milik Elon Musk di Selangor pada tahun ini.

Dalam perkembangan berkaitan Malaysia akan terus memperkasakan komitmen dalam soal pelepasan karbon sifar bersih atau ‘net-zero emissions’ seawal-awalnya pada tahun 2050.

"Malaysia mempunyai pelan dan ekosistem komprehensif, serta sumber yang berdaya saing dalam menyokong industri tenaga bersih termasuk mobiliti elektrik," katanya.

Artikel berkaitan
Pelancaran satelit Starlink cetus fenomena cahaya


(Foto Anwar Ibrahim)

Media Baharu