fb fb fb fb fb

Projek tanaman kelapa sawit di Pekan dapat kelulusan, penuhi syarat- Pasfa

(Pengerusi PASFA. Datuk Zamri Yaakob (dua dari kiri) menunjukkan
dokumen Projek Pembangunan Tanaman Kelapa Sawit)

KUANTAN, 14 Julai- Projek Tanaman Kelapa Sawit seluas 402.33 hektar di Kampung Darat Air Hitam, Mukim Lepar di Pekan mematuhi segala syarat yang ditetapkan.
Justeru, Pertubuhan Peladang Negeri Pahang (PASFA) menyangkal dakwan pihak tertentu berhubung projek berkenaan yang dikatakan tidak mendapat kelulusan Penilaian Kesan Kepada Alam Sekeliling (EIA).

Pengerusi PASFA, Datuk Zamri Yaakob berkata pihaknya telah mendapat kelulusan daripada Jabatan Alam Sekitar pada 29 Jun 2021.

Katanya, projek itu dibangunkan mengikut syarat yang ditetapkan JAS termasuk mengurangkan impak kesan hakisan dan kelodak kepada sungai.

"Kita ada kelulusan dan bukan suka-suka bangun selepas mendapat kelulusan EIA baru kita membangunkan projek ini. Saya harap isu ini ditutup kerana apa yang dilaksanakan mengikut peraturan dan bukannya melanggar syarat ditetapkan.

"Setakat ini, kawasan seluas 200 hektar sudah ditanam kelapa sawit, manakala bakinya tanaman dijangka selesai pada hujung tahun ini.

"Kita jangkakan hasil tanaman ini akan bermula pada pertengahan 2026," katanya pada sidang media di Kuantan hari ini.


(Pengerusi PASFA, Datuk Zamri Yaakob)

Selain itu katanya, tidak timbul isu gangguan kepada masyarakat Orang Asli di kawasan itu.

Jelasnya, beberapa isu yang dibangkit itu dianggap selesai selepas beberapaperbincangan telah dijalankan melibatkan beberapa pihak termasuk Jabatan Kemajuan Orang Asli (JKOA) dan masyarakat Orang Asli di kawasan terbabit.

Sebelum ini, sebuah pertubuhan bukan kerajaan (NGO) mempertikaikan dan menggesa JAS membatalkan EIA bagi projek itu yang didakwa tidak dipamerkan mengikut garis panduan ditetapkan selain mendakwa projek itu dibuat di atas hutan paya gambut.

Sementara itu, Zamri juga mendakwa, sebanyak 40 hektar daripada 402.33 hektar tanah milik PASFA itu diceroboh dan pihaknya sudah membuat laporan polis.

Media Baharu