KUALA LUMPUR, 5 Januari- Angkatan Tentera Malaysia (ATM) mengesahkan berlaku satu insiden kekecohan melibatkan warga Palestin di Wisma Transit Kuala Lumpur (WTKL) pada pukul 5 petang, semalam.
Dalam satu kenyataan dikeluarkan, ATM memaklumkan kekecohan dipercayai berpunca daripada keinginan warga Palestin yang mahukan proses permohonan mereka untuk kembali ke Palestin dipercepatkan.
Akibat daripada insiden tersebut, pegawai dan anggota ATM yang bertugas telah bertindak berbincang bersama dengan warga Palestin yang terlibat.
Namun situasi berkenaan berjaya diredakan tanpa sebarang pergaduhan dan kecederaan, hanya berlaku sedikit kerosakan terhadap peralatan perabot di WTKL.
ATM menasihati orang ramai agar tidak membuat sebarang spekulasi berkenaan insiden tersebut susulan tular dua buah video di media sosial memaparkan warga Palestin yang dilihat bertindak merosakkan dan membakar peralatan perabot di tempat kejadian.