fb fb fb fb fb

Warga emas terima MyKad, tamatkan penantian 64 tahun - JPN

GEORGE TOWN, 29 Julai- Penantian 64 tahun seorang warga emas untuk memilliki Mykad berakhir hari ini apabila dia menerima kad pengenalan diri.

Lebih istimewa kad pengenalan Alliamah Ramasamy, 64 tahun diserahkan sendiri oleh Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia di Jabatan Pendaftaran Negara Negeri Pulau Pinang.

Ketua Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia, Datuk Ruslin Jusoh berkata masalah ini berjaya diselesaikan di bawah kes proses pendaftaran lewat dengan melalui ujian DNA di Jabatan Kimia Pulau Pinang, keterangan temu duga dan dokumen sokongan daripada adik-beradik serta carian rekod kelahiran.

Jelasnya, ketiadaan Mykad bagi warganegara Malaysia adalah satu kerugian besar untuk menerima kemudahan-kemudahan yang disediakan oleh kerajaan.

"Sekiranya seorang itu walaupun mereka itu seorang warganegara Malaysia tetapi sekiranya tiada pendaftaran kelahiran dibuat maka pembuktian kewarganegaraan itu, kita tak boleh buat. Apabila ada MyKad, itulah dokumen rasmi yang sah untuk kita bawa ke mana-mana sahaja selain boleh digunakan bagi tujuan mendapatkan kemudahan daripada kerajaan seperti ubatan, persekolahan, bantuan-bantuan yang ditetapkan oleh kerajaan. Oleh itu, JPN mahu menekankan bahawa rakyat Malaysia tidak boleh tercicir daripada mendapatkan dokumen pengenalan diri," kata Datuk Ruslin.


(Penerima MyKad, Alliamah Ramasamy menerima kad pengenalan diri daripada Ketua
Pengarah Jabatan Pendaftaran Negara (JPN), Datuk Ruslin Jusoh)

Anak keempat daripada tujuh orang adik- beradik itu tidak memiliki sebarang dokumen pengenalan diri sejak kecil berpunca daripada bencana kebakaran yang berlaku di rumah keluarganya sekali gus memusnahkan semua dokumen penting untuk proses pendaftaran kelahirannya.

Beliau yang tiada pengalaman mengundi seumur hidupnya bersyukur kerana sah sebagai seorang anak Malaysia dengan memiliki sijil kelahiran dan kad pengenalan diri.

"Saya sangat seronok dan nak ucapkan terima kasih kepada pihak JPN beri saya MyKad, kad pengenalan diri ini," kata Alliamah kepada pemberita RTM.


(Alliamah Ramasamy menyatakan keterujaannya ketika ditemu bual media)

Anak lelakinya, Mohd Faizal Suresh Abdullah berkata sebelum ini ibunya telah berusaha untuk memiliki dokumen pengenalan diri dengan tawaran dari pihak luar tetapi tidak dapat diteruskan kerana kekangan kewangan.

Katanya, pihak JPN berjaya menyelesaikan masalah ibunya hanya mengambil masa enam bulan.

"Untuk urusan dengan JPN ni memang saya syukur dan ucap terima kasih lah. Saya terus pergi ke JPN untuk proses dapatkan MyKad ibu," kata Faizal.

Media Baharu