fb fb fb fb fb

KKM perkenal Nutri-Grade, fokus literasi pemakanan sihat rakyat

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad - Foto Bernama

PARLIMEN, 5 Ogos - Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan melaksanakan sistem penarafan makanan Nutri-Grade dalam usaha meningkatkan literasi pemakanan sihat dalam kalangan rakyat, khususnya kanak-kanak dan remaja.

Menteri Kesihatan, Datuk Seri Dr. Dzulkefly Ahmad berkata, inisiatif ini sebahagian daripada pendekatan menyeluruh kerajaan menerusi prinsip Whole of Government dalam menangani isu pemakanan tidak seimbang. Ini termasuk kekurangan pengambilan sayur-sayuran, buah-buahan dan produk tenusu.

“Kita masih berdepan cabaran besar dari segi amalan dan budaya pemakanan sihat. Perlu ada perubahan dari segi amalan harian dan pilihan makanan rakyat,” katanya pada sidang media selepas menghadiri Majlis Pemakanan Sihat Tanggungjawab Bersama di Dewan Bankuet, Parlimen, hari ini.

Menurut beliau, sistem Nutri-Grade akan mengkategorikan produk makanan mengikut tahap kesihatan, bermula daripada kategori A (terbaik) hingga D (paling tidak sihat).

“Apabila kita perkenalkan Nutri-Grade, makanan kategori D tidak akan dibenarkan untuk diiklankan. Ini supaya rakyat lebih sedar dan tahu mana makanan yang patut dielakkan,” katanya.

KKM turut merancang memperketat pelaksanaan logo Healthier Choice serta melibatkan peranan influencer dalam mengangkat agenda gaya hidup sihat.

TUN JULIA MOHD TAHIR