KAJANG, 5 Ogos - Kadar pemulihan penagih dadah yang dicatatkan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) kini mencecah hampir 80 peratus seperti yang disasarkan pada tahun ini.
Kementerian Dalam Negeri (KDN) menyifatkan pencapaian itu hasil keberkesanan modul rawatan holistik yang menekankan aspek psikologi, sosial, biologi dan kerohanian.
Menterinya, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata kadar keberkesanan program pemulihan AADK kini berada antara 78 hingga 79 peratus.
“Angka ini adalah satu kayu ukur yang baik. Namun kita tidak boleh berpuas hati. Sebab itu saya telah minta Ketua Pengarah AADK supaya teruskan pemantauan terhadap bekas klien selepas mereka tamat rawatan,” katanya pada sidang media selepas merasmikan majlis penutupan Program i-DEEN anjuran Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di sini hari ini.
Menurutnya, klien yang menjalani rawatan di pusat AADK akan mengikuti modul latihan komprehensif selaras dengan pendekatan holistik dalam rawatan ketagihan.
Beliau turut menekankan kepentingan penglibatan komuniti dalam menjayakan usaha pemulihan.
Ini termasuk melalui rangkaian sokongan seperti Friends of AADK dan pihak berkepentingan lain.
“Angka 80 peratus itu adalah munasabah dan kita mesti pertahankan, kalau boleh kita naikkan lagi. Ini bukan hanya tanggungjawab kerajaan, tapi semua pihak termasuk masyarakat,” katanya.
Majlis penutupan i-Deen Kepulihan AADK 2025 itu turut menghimpunkan bekas klien dan pengamal sokongan kepulihan dari seluruh negara sebagai platform pengukuhan jaringan pasca rawatan.