fb fb fb fb fb

MP Ampang syor laporan RMK13 dibentang berkala, elak projek tertangguh

Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail

KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Laporan pelaksanaan Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK12) dan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) disyor dibentangkan secara berkala di Parlimen untuk memastikan projek yang dirancang tidak terus tertangguh.

Ahli Parlimen Ampang, Rodziah Ismail menyifatkan laporan berkala penting kerana ada projek yang dijanjikan sejak bertahun lalu masih belum dilaksanakan.

“Ini penting yang dipertua, disebabkan kita lihat kadangkala ada projek-projek yang telah pun diberi komitmen kepada Rancangan Malaysia yang lepas-lepas tetapi kita lihat ianya tiada bila pelaksanaan itu dah bertahun-tahun kita tunggu.

"Jadi ini adalah satu perkara yang saya harap sangat Kerajaan Madani akan terus memberikan komitmen yang lain, yang tegas, yang kompeten untuk pelaksanaan RMK13 ini,” katanya ketika membahaskan usul Kajian Separuh Penggal RMK12 di Dewan Rakyat, hari ini.

Rodziah turut mencadangkan semakan semula akta berkaitan perumahan dan perbandaran bagi memperkasa pembangunan bandar serta penempatan rakyat.

Beliau menyambut baik sasaran sejuta unit rumah menjelang 2030 di bawah RMK13, namun menekankan keperluan teknologi terkini dan pembiayaan perumahan yang lebih efisien bagi menjayakannya.

“Saya mengharapkan supaya dengan usaha RMK13 ini, kerajaan akan memastikan bahawa menjelang 2030 itu benar-benar ia dapat dilaksanakan.

"Komitmen itu bukan semata-mata di sudut bilangan tetapi perlulah komitmennya dalam konteks melihat tentang teknologi terkini selain FBS (Fund-Based System) yang boleh mempercepatkan usaha ini,” katanya.

Rodziah turut menegaskan isu ketidakpadanan antara permintaan dan penawaran perumahan masih berlarutan apabila rumah mewah terus dibina tetapi sukar dimiliki majoriti rakyat.

“Kita tak mahu rumah mewah bertambah tetapi tak berpenghuni, sedangkan rumah mampu milik masih sukar dimiliki rakyat," katanya.

GRACE AISYAH KEDAYAN