KUALA LUMPUR, 5 Ogos - Kerajaan MADANI komited untuk terus menambah baik keperluan sekolah pondok dan sekolah agama rakyat bagi memastikan institusi pendidikan tersebut tidak ketinggalan dalam arus pembangunan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata jurang kemudahan antara institusi pondok dan sekolah kebangsaan masih terlalu besar, justeru memerlukan perhatian serius daripada kerajaan.
Sehubungan itu, katanya, sejak 2022, Kerajaan MADANI telah mengembalikan peruntukan kepada institusi berkenaan yang sebelum ini pernah dibatalkan oleh kerajaan terdahulu ketika pembangkang mentadbir.
“Baru-baru ini saya bertemu guru-guru pondok yang mengeluh kerana sebelum ini, pemimpin mereka sekarang, iaitu kumpulan SG4 (State Government 4) telah membatalkan semua peruntukan kepada sekolah agama rakyat. Saya tidak bersetuju dengan tindakan itu.
“Sebab itu, pada 2022, kita kembalikan semua peruntukan tersebut kepada sekolah agama rakyat, oleh kerajaan MADANI yang dituduh ‘zalim’ ini… sedangkan mereka yang disanjung dan dipuja itulah yang membatalkan (peruntukan) dahulu,” katanya ketika menjawab soalan pada sesi Waktu Pertanyaan-Pertanyaan Menteri di Dewan Rakyat hari ini. - BERNAMA