fb fb fb fb fb

Warga emas rugi lebih RM100,000 terperdaya 'Phone-Scam'

IPOH, 14 Julai- Seorang wanita warga emas kerugian lebih RM100,000 selepas terpedaya dengan sindiket 'Phone Scam'.

Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri berkata, mangsa berusia 67 tahun itu menerima panggilan daripada tiga suspek yang mengaku sebagai ejen syarikat penghantaran barang, seorang yang menyamar sebagai pegawai polis dan seorang lagi mendakwa berpangkat Datuk, pada awal bulan lepas.

Beliau dalam satu kenyataan menjelaskan, mangsa diberitahu oleh suspek terdapat satu bungkusan yang mengandungi Kad Pengenalan milik mangsa telah dihantar ke alamat di Perlis, namun rumah tersebut tidak berpenghuni.


(Ketua Polis Perak Datuk Seri Mohd Yusri Hassan Basri)

"Mangsa telah bercakap dengan suspek yang menyamar sebagai pegawai polis kononnya mangsa terlibat dengan kes pengubahan wang haram dan dadah.

"Selepas itu, panggilan mangsa telah disambungkan kepada seorang lelaki menggelarkan diri sebagai Datuk yang memintanya mendedahkan semua maklumat akaun bank.

"Akibat ketakutan, wanita itu memberikan semua maklumat perbankan miliknya termasuk aplikasi dalam talian di telefon bimbit dan mendepositkan lebih RM10,900 ke satu akaun diberikan lelaki berkenaan.

Beliau berkata mangsa menyedari ditipu selepas semakan dibuat pada Khamis mendapati terdapat lapan transaksi pindahan wang berjumlah RM102,950 ke atas tiga akaun yang tidak dikenali berlaku pada 12 Jun lalu.

Tambahnya, mangsa cuba menghubungi suspek, namun gagal sebelum membuat satu laporan polis.

Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan.

Media Baharu