fb fb fb fb fb

Lebih 400 bekas pengikut ajaran sesat di Johor sertai program pemantapan akidah Ahad ini

Foto RTM

JOHOR BAHRU, 27 November - Lebih 400 bekas pengikut ajaran sesat termasuk daripada kumpulan GISB Holdings Sdn Bhd (GISBH) di Johor menyertai Program Pemantapan Akidah dan Istitabah yang akan berlangsung di Kota Tinggi, Ahad ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid memberitahu kesemua individu terlibat menyertai program itu secara sukarela.

"Program ini merupakan hasil kerjasama JAINJ dan MAINJ sebagai antara usaha kerajaan negeri untuk memurnikan akidah bekas pengikut ajaran sesat terlibat. Mereka yang mengikuti program ini merupakan individu yang telah dikenakan tindakan perundangan dan sebagainya," katanya.

Dalam pada itu, beliau memaklumkan yang kerajaan Johor meminda empat enakmen berkaitan pentadbiran dan penguatkuasaan syariah bagi memperkukuh penguatkuasaan dalam membendung ajaran sesat termasuk di media sosial.

Mohd Fared berkata langkah itu selaras titah Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim bagi mengawal kegiatan ajaran sesat selain mempertingkat tindakan tegas.

Enakmen itu ialah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah Negeri Johor 1997, Enakmen Tatacara Jenayah Syariah Negeri Johor 2003, Enakmen Keterangan Mahkamah Syariah Negeri Johor 2003 serta Enakmen Pengawalan Sekolah-Sekolah Agama Negeri Johor 1991.

Pindaan berkenaan menambah peruntukan baharu, meliputi penggunaan media sosial dan peranti digital seperti komputer, telefon pintar serta aplikasi termasuk TikTok.

"Ini membolehkan pihak berkuasa agama di negeri ini ( JAINJ dan MAINJ) memulakan siasatan termasuklah penyebaran di media sosial. Semua laluan (penyebaran) disekat dan langkah ini dilaksana dengan kerjasama Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia dan Polis Diraja Malaysia yang memberi komitmen besar dalam menangani isu ini," jelasnya kepada media selepas Majlis Pelancaran Program Gerobok Ar-Rizq, di sini.

SITI NOOR KASANABILAH BINTI KAMARUL ZAMAN