KUALA LUMPUR, 28 November -Akses pendidikan tinggi terus diperkukuh apabila Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) menambah 1,500 tempat baharu di universiti penyelidikan (RU) bagi pengambilan 2026.
Timbalan Menteri Pendidikan Tinggi, Datuk Mustapha Sakmud berkata, langkah itu bagi mengurangkan tekanan permohonan, khususnya dalam program berimpak tinggi.
Jelas beliau, universiti penyelidikan yang terlibat ialah Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Sains Malaysia (USM) dan Universiti Teknologi Malaysia (UTM).
“Penambahan ini akan mengurangkan rungutan dan memberi lebih banyak peluang kepada pelajar tempatan,” katanya ketika penggulungan Belanjawan 2026 peringkat jawatankuasa di Dewan Rakyat, pada Khamis.
Beliau turut menegaskan UPU Online kekal saluran kemasukan utama.
Pemohon digesa meneliti panduan permohonan bagi mengelak salah faham mengenai merit dan pemilihan kursus.
Mengenai isu kemasukan pelajar antarabangsa, Datuk Mustapha menekankan bahawa pelajar tempatan terus diberi keutamaan, terutama di peringkat prasiswazah.
“Pelajar antarabangsa membayar yuran penuh tanpa subsidi.
Di peringkat prasiswazah, penyertaan mereka sebenarnya di bawah sepuluh peratus,” katanya.
Beliau menjelaskan angka hampir 20 peratus pelajar antarabangsa yang disebut beberapa Ahli Parlimen merangkumi pelajar pascasiswazah dan tidak menjejaskan tempat untuk pelajar tempatan.
Dalam pada itu, beliau turut memaklumkan perkembangan positif dalam pengkomersialan penyelidikan universiti.
Lebih 200 produk R&D berjaya dikomersialkan antara 2022 hingga 2024.
Manakala, sebanyak 286 teknologi turut dilesenkan kepada industri.
Keseluruhan aktiviti tersebut menjana RM43 juta kepada universiti awam.
"Penyelidikan tidak boleh berhenti pada penerbitan akademik. Ia perlu sampai ke pasaran,” jelas beliau.
Bawah RMK-13, tumpuan diberikan kepada teknologi berpotensi pasaran tinggi serta sokongan dana permulaan kepada syarikat terbitan universiti.
Dewan Rakyat kemudian meluluskan peruntukan RM18.598 bilion bagi KPT dalam Belanjawan 2026 selepas dibahas 23 Ahli Parlimen.