KUALA LUMPUR, 28 November -Semua masjid dan surau Jumaat bawah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (JAWI) diarah melaksanakan solat hajat khas sejurus selepas Solat Jumaat, hari ini.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar berkata, solat hajat itu bagi memohon perlindungan Allah daripada sebarang musibah.
“Solat hajat ini dilaksanakan bagi memohon perlindungan daripada Allah SWT, agar negara dan rakyat seluruhnya dijauhkan daripada sebarang bala dan musibah.
Ia termasuk bencana banjir, ribut dan kemusnahan harta benda,” katanya dalam satu kenyataan di Facebook malam tadi.
Jelas beliau, solat hajat itu juga menjadi ruang munajat memohon dipermudah urusan semua pasukan keselamatan, agensi kerajaan dan sukarelawan yang sedang membantu penduduk terjejas.
Datuk Dr. Mohd Na’im turut mendoakan agar masyarakat yang berdepan ujian diberikan ketabahan, kekuatan dan perlindungan berpanjangan.
"Semoga dengan ikhtiar doa dan munajat seluruh umat, Allah SWT mengangkat segala kesulitan, menurunkan rahmat serta mengurniakan kesejahteraan kepada negara tercinta," ujarnya lagi.