KUALA LUMPUR, 28 November -Lebih 50 perniagaan dan usahawan Bumiputera menerima pengiktirafan pada Anugerah Kecemerlangan Bumiputera (BBEA) 2025, malam tadi.
Timbalan Menteri Peralihan Tenaga dan Transformasi Air, Akmal Nasrullah Mohd Nasir berkata, anugerah berkenaan menzahirkan kepentingan strategik keusahawanan Bumiputera dalam memperkukuh asas ekonomi negara.
"Pengiktirafan ini mencerminkan daya tahan dan keupayaan tinggi perniagaan Bumiputera yang semakin mapan.
Selain, mengiktiraf sumbangan mereka terhadap inovasi, daya saing dan pertumbuhan ekonomi," katanya.
BBEA mengiktiraf pencapaian dalam pelbagai sektor termasuk teknologi, pembinaan, pendidikan, logistik, peruncitan, keusahawanan sosial, sains makanan, kesihatan dan ekonomi kreatif.
Majlis itu menghimpunkan lebih 300 individu terdiri daripada pemimpin korporat, usahawan, pembuat dasar dan tokoh negara bagi meraikan pencapaian terbaik komuniti perniagaan Bumiputera.
BBEA turut bertujuan menyemarakkan aspirasi, menggalakkan kolaborasi serta menyokong perkembangan perusahaan Bumiputera di seluruh negara.
Selain penganugerahan, BBEA turut berfungsi sebagai platform pembangunan kapasiti, jaringan industri dan kerjasama strategik bagi memastikan perniagaan Bumiputera kekal relevan, berdaya saing dan inovatif.
